SEBAUH – Cantik serta memberi inspirasi, itu mungkin ayat paling ringkas untuk menggambarkan perasaan sebaik melangkah masuk ke dalam Rumah Jangu Ladong Tahir (Rh Jangu Tahir) yang terletak di Kilometer 15, Jalan Ulu Sebauh.
Menurut Timbalan Tuai Rumah Sidin Dian, rumah panjang masyarakat Iban itu mula dibina sejak tahun 2000, selepas bekas tuai rumah mendiang Tahir Kalau membawa penduduk berpindah dari lokasi asal yang terletak di tepi Sungai Tebas untuk memudahkan mereka menerima kemudahan seperti akses jalan raya, elektrik dan air.
Katanya rumah panjang dua tingkat yang dibina di tanah seluas tiga hektar itu juga bertujuan menggantikan petempatan lama yang dibina menggunakan kayu dan sudah begitu uzur.
“Ada 34 bilik/pintu rumah yang menempatkan 225 orang penduduk di Rh Jangu Tahir ini, berdasarkan persetujuan yang dicapai sejak idea awal dicetuskan mendiang bapa mentua saya (Tahir Kalau) bahagian luar rumah perlu sama namun di dalam setiap bilik/pintu penduduk boleh buat reka bentuk sendiri,” katanya kepada Bernama.
Biarpun begitu, Sidin berkata reka bentuk dalaman perlu juga mengambil kira faktor keselamatan khususnya melibatkan langkah pencegahan kebakaran.
Katanya sejarah rumah panjang dibina kerana faktor permusuhan antara kaum, tetapi kini musuh utama rumah panjang ialah api atau kebakaran dengan hampir setiap tahun berlaku musibah rumah panjang hangus dijilat api.
“Oleh itu saya membuat reka bentuk dengan sedaya upaya agar pencegahan kebakaran dapat dielakkan. Bahagian dapur dipisahkan atau dibuat berasingan daripada bahagian utama bilik/pintu pada jarak 15 meter, begitu juga bahagian utama bilik/pintu dipisahkan dengan ruai juga pada jarak 15 meter.
“Selain itu bahagian-bahagian tersebut disambung atau dibina menggunakan material ‘semi fire proof’ seperti metal (logam), boleh dikatakan tidak akan dijilat api sekiranya berlaku kebakaran,” katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas di Mesir.
Sidin turut berkongsi satu perkara menarik iaitu sekiranya rumah panjang memenuhi spesifikasi keselamatan, setiap bilik/pintu boleh diinsuranskan.
“Sekiranya rumah panjang lengkap dengan fire breaker, pendawaian elektrik oleh kontraktor berlesen, penduduk yang tinggal boleh insuranskan bilik/pintu mereka. Di Rh Jangu Tahir ini penduduk memang menginsuranskan rumah mereka dengan nilai antara RM120,000 hingga RM150,000 setiap bilik/pintu.
“Saya sendiri menginsuranskan unit saya ini pada nilai RM500,000 lengkap dengan perlindungan kebakaran, kilat, rompakan serta bencana alam,” katanya sambil menambah itu kebaikan rumah panjang moden yang mementingkan aspek keselamatan. – BERNAMA