KUALA LUMPUR – Pelakon Zoey Rahman mempertahankan, dia menerima tawaran membintangi filem terbaru arahan Z Lokman, Awang Gerudi bukan semata-mata kerana wang.
Dia yang terpalit dalam kontroversi apabila dikatakan enggan mempromosikan filem itu menegaskan, tawaran itu diterima kerana minat untuk mendalami bidang lakonan.
Zoey atau atau nama sebenarnya, Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 33, berkata, biarpun ramai mengkritik sedutan filem itu yang dimuat naik di YouTube, dia tidak serik untuk kembali bekerjasama dengan pengarah itu.
Baginya, setiap penggiat seni pasti berdepan pasang surut dalam berkarya.
“Diakui banyak perkara yang berlaku sepanjang penggambaran, termasuk isu kontrak dan terbaru, sedutan filem itu yang mendapat kritikan negatif penonton di YouTube.
“Tetapi jujurnya, banyak perkara yang saya belajar sepanjang bekerjasama dengan Z Lokman. Dia banyak memberikan tunjuk ajar berbekalkan pengalamannya mengarahkan lebih 30 filem.
“Saya juga tidak serik. Lumrah dalam hidup ini, tidak semuanya indah. Ada masanya, karya kita tidak menjadi. Saya sedia bekerjasama dengannya semula jika ada peluang pada masa akan datang,” katanya.
Zoey, baru-baru ini bersama seorang lagi pelakon dikaitkan dalam isu enggan mempromosikan Awang Gerudi kerana dikatakan tidak yakin dengan sambutan penonton terhadap filem itu.
Mengulas perkara itu, Zoey berkata, dia bukan tidak mahu memberikan kerjasama untuk mempromosikan filem, tetapi menyifatkan, tiada guna berbuat demikian jika usahanya itu hanya sia-sia.
“Ramai yang sudah menonton sedutan filem itu rata-rata memberikan komen negatif. Biarpun saya gigih mempromosikan filem itu, saya tidak yakin usaha itu dapat membantu menarik penonton ke pawagam,” katanya.
Z Lokman dikenali sebagai pengarah filem komedi era 1980-an dan 1990-an seperti Awang Spanar, Bujang Selamat, Cikgu Romantik, Minah Manja dan Cikgu Sayang.
Awang Gerudi adalah filem ke-35 arahan pengarah itu dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Disember ini.
Selain Zoey, filem genre komedi pengembaraan itu turut dibintangi Ika Nabella, Aprena Manrose, Abon, Mustapha Kamal dan Zarina Zainuddin. – BH ONLINE