TEMPOH pemerintahan Pakatan Harapan menjelang tahun 2019 ini akan memasuki fasa kedua, iaitu fasa yang mencabar dan menggugat, selepas melepasi fasa bulan madu sejak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sejak 9 Mei 2018, PH melangkah masuk ke Putrajaya dengan harapan yang besar, malah terlalu besar dan tidak realitik yang dijanjikan melalui janji populis pilihan rayanya.
Kemenangan PH pada masa itu disambut gembira banyak pihak, termasuk pengundi tidak berparti yang percaya dengan janji dan imej bersih, cekap dan amanah yang dijual PH.
Kerajaan Barisan Nasional sudah dimusnahkan dengan persepsi dan fitnah hingga cukup ramai yang percaya keburukan BN sudah tidak dapat diubati dan pilihan yang ada hanyalah mengundi PH.
Mood ini dibina lama dan akhirnya melekat di hati ramai pengundi, ditambah dengan keresahan sendiri tentang kos sara hidup yang terus meningkat.
PH berjaya membina sentimen penolakan yang semata-mata penolakan tanpa menumpu pada tawaran yang lebih baik dengan terperinci.
Secara mudah, ramai pengundi (pengundi Melayu yang memilih PH) melihat keadaan akan lebih baik di bawah PH, tanpa mengetahui sejauh mana janji PH itu boleh dilaksanakan.
Semasa menerima janji menghapuskan GST, pengundi tidak berfikir tentang SST yang akan dilaksana semula dan harga barang akan kekal tinggi.
Buktinya sudah jelas di depan mata dan menteri PH sendiri sudah mengakui SST tidak dapat menurunkan harga barang, dan menyalahkan pembekal dan peniaga sebagai punca harga barang tinggi.
Janji tidak realistik penghapusan tol juga satu lagi bukti yang pengundi tidak sampai untuk memikirkan perincian yang sebenarnya menentukan sama ada tol boleh dihapuskan.
Begitu juga dengan PTPTN, janji yang paling mengujakan anak muda lepasan universiti, yang percaya mereka tidak akan diganggu lagi dengan tuntutan hutang pendidikan ini. Mereka percaya hutang mereka akan dihapuskan.
Janji PH paling besar, merangkumi semua janji ini, ialah ekonomi yang lebih baik, peluang pekerjaan lebih banyak, mata wang ringgit lebih kukuh, dan banyak lagi yang merupakan ciri sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Tetapi selepas lapan bulan “kerajaan kleptokrat” ditumbangkan, rakyat akan melangkah masuk ke tahun 2019 dengan suasana lebih perit, dengan janji tidak tertunai dan pertembungan politik lebih sengit.
Bibit-bibit perpecahan dan pertembungan sesama sendiri dalam kalangan parti-parti PH sudah kelihatan menjelang hujung 2018, antara parti dan dalaman parti seperti dialami PKR.
Tahun 2018 telah memulakan momentum yang akan menjadikan 2019 lebih mencabar bagi semua, dan akan lebih membuktikan kepalsuan janji dan harapan PH. – Mynewshub.tv