PERDANA Menteri India, Narendra Modi pada Isnin mengumumkan bantuan sebanyak AS$1.4 bilion kepada Maldives selepas bertemu dengan pemimpin baharu Maldives, Presiden Ibrahim Mohamed Solih.
Bantuan ini untuk membolehkan Maldives menghadapi krisis ekonomi yang semakin kritikal selepas pilihan raya presiden pada September lalu.
Maldives dan India turut menandatangni empat perjanjian termasuk melibatkan kemudahan proses visa.
Dalam pertemuan kali kedua dengan Solih dalam tempoh sebulan, Modi menegaskan lagi bahawa New Delhi mahukan hubungan dagang lebih baik dengan Male, sambil menambah bahawa banyak peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan syarikat Maldives di India.
“Kami mengadakan rundingan dengan jayanya dalam suasana mesra. Kami berikrar mengukuhkan hubungan. Kami mahukan hubungan lebih baik dengan Maldives,” kata Modi selepas bertemu Solih.
Pada Ahad, Solih tiba di New Delhi untuk lawatan tiga hari, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjawat jawatan presiden pada 17 November.
Presiden baharu Maldives ini menang ke atas lawannya Abdullah Yameen yang dianggap sebagai sekutu kuat China yang menerima bantuan kewangan dan sokongan politik.
Solih berjanji menilai semula projek China di Maldives sekiranya menang dan mentadbir Maldives, negara pulau yang kuat dipengaruhi negara jiran India dan China. – Agensi