MADRID – Pendakwa raya Sepanyol akan memfailkan aduan terhadap Shakira kerana dakwaan mengelakkan cukai berjumlah 14.5 juta euro (RM68 juta), yang dinafikan peguam penyanyi terkenal itu.
Akhbar El Pais melaporkan, pendakwa raya memaklumkan peguam penyanyi kelahiran Colombia itu bahawa selepas siasatan kes itu, mereka tidak menggugurkannya, bermakna mereka akan memfailkan aduan di mahkamah dalam masa beberapa hari lagi atas dakwaan mengelak cukai.
Jurucakap pejabat pendakwaan Sepanyol memberitahu, ‘tiada tindakan diambil lagi’ setakat ini. Perkara itu sedang diteliti, katanya.
Shakira disyaki tidak membayar cukai di Sepanyol walaupun menetap di negara itu antara 2011 dan 2014, menurut pendakwa.
Kes itu cuma meliputi tempoh dari 2012 hingga 2014, kerana rangka masa untuk mendakwa kesalahan cukai pada 2011 sudah tamat.
Menjalin hubungan dengan bintang kelab Barcelona, Gerard Pique, dan mempunyai dua anak, bintang berusia 41 tahun itu memindahkan kediaman tetapnya ke Sepanyol pada 2015.
Namun jurucakap pendakwa raya di Barcelona berkata, ia tidak ‘menepati realiti’ dengan anak-anak dan pasangannya di Barcelona.
Wakil Shakira menegaskan sehingga 2014, beliau memperoleh pendapatan susulan konsert jelajah antarabangsa dan tidak tinggal di Sepanyol lebih enam bulan dalam setahun, prasyarat untuk menjadi penduduk yang membayar cukai secara rasmi di negara itu.
Shakira ialah antara bintang Amerika Latin paling terkenal dengan lagu popular seperti ‘Hips Don’t Lie’ dan ‘Whenever, Wherever’. Beliau sudah menjual lebih 60 juta rekod. — AFP