PAKAN (Sarawak) – Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu-bata di Jalan Pakan, berhampiran SK Nanga Babai, dekat sini, hari ini.
Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta Produa Viva, Ketit Beti, 70, sementara Jely Danggang, 64, cedera parah.
Jely dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pakan oleh orang ramai dan kemudian dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin ketika dihubungi di sini hari ini, berkata pemandu lori berkenaan yang berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.21 tengah hari, dan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan dan operasi ditamatkan pada 2.36 petang.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu kereta tersebut, dan lelaki berkenaan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Nicholas berkata berdasarkan maklumat awal diperoleh di tempat kejadian, pasangan suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Julau ke Pakan, selepas mengambil baja kelapa sawit dari pekan Julau.
Namun, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori, katanya. – BERNAMA