SUDAN yang kini memasuki hari keenam protes besar-besaran mula mendapat perhatian pihak asing, terutama negara-negara Barat.
Amerika Syarikat, Britain, Norway dan Kanada pada Isnin menyuarakan rasa prihatin terhadap dakwaan kekerasan yang digunakan pihak keselamatan terhadap peserta demonstrasi.
Protes menuntut Presiden Omar al-Bashir tercetus daripada kemarahan terhadap kenaikan harga roti minggu lalu.
Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan di Khartoum, empat negara terbabit menuntut semua pihak mengelakkan keganasan, pada masa sama menggesa kerajaan Sudan menghormati hak rakyat.
Pendirian bersama ini dilihat sebagai satu sokongan negara-negara Barat itu kepada pembangkang yang mahu menjatuhkan Bashir.
Sudan telah mula lepas daripada sekatan AS sejak pentadbiran Trump menamatkan beberapa sekatan, dan sedang berunding untuk dikeluarkan dari senarai terorisme.
Presiden Bashir berdepan tekanan masyarakat antarabangsa sejak beberapa tahun lalu apabila didakwa terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Darfur.
Pada masa sama, Amnesty International berkata ia memperolehi maklumat daripada pihak yang boleh dipercayai bahawa 37 mati ditembak oleh pihak polis Sudan.
Protes berlaku di seluruh negara melibatkan rakyat Sudan yang terjejas akibat peningkatan harga barangan keperluan harian terutama roti.
Terbaru, pihak berkuasa dilaporkan menggunakan senjata api terhadap protes yang bergerak beramai-ramai di jalanan.
Desakan semakin kuat menuntut Bashir meletak jawatan, termasuk daripada gabungan persatuan pekerja profesional.
Dua parti politik utama Sudan dan Ikhwanul Muslimin di sana telah menyatakan sokongan terhadap tuntutan agar Bashir berundur. – AP