KUALA LUMPUR – Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada kira-kira 1 tengah hari diiringi Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.
Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak menunaikan solat Jumaat yang diketuai imam besar masjid berkenaan, Mej Nizam AlHafiz bersama kira-kira 2,500 jemaah.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Mej Jen Datuk Kamaruddin Mamat membacakan khutbah yang antara lain menyentuh soal pembinaan negara bangsa dengan menjadikan Islam sebagai tonggak utama agar semua bangsa dapat hidup bersama dalam perpaduan dan kesatuan.
Selesai solat Jumaat, Sultan Nazrin berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dan warga ATM sebelum berangkat meninggalkan masjid. – BERNAMA