KLANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda rasa kesal dan dukacita terhadap peristiwa rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 di Subang Jaya dekat sini pada 26 dan 27 Nov lepas.
Baginda bertitah insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku jika masyarakat menghormati undang-undang, budaya, agama dan sensitiviti pelbagai kaum yang ada di Malaysia.
“Beta ingin melahirkan rasa dukacita beta di atas peristiwa yang berlaku baru-baru ini yang melibatkan rusuhan di sebuah kuil Sri Maha Mariamman, Seafield di Subang Jaya yang mengakibatkan kecederaan teruk berlaku kepada seorang anggota bomba dan penyelamat yang sedang menjalankan tugasnya ketika rusuhan berlaku dan kecederaan kepada orang awam yang terlibat di dalam rusuhan tersebut.
“Beta merasa amat kesal dengan berlakunya rusuhan sebegini di Negeri Selangor, janganlah kita rosakkan segala yang telah kita bina bersama selama ini dengan menimbulkan pelbagai kekeliruan dan syak wasangka di antara kaum dan fahaman agama yang wujud di dalam masyarakat kita,” titah baginda di Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke 73 di Istana Alam Shah di sini hari ini.
Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, barisan exco kerajaan negeri dan rakyat dari sekitar Selangor.
Dalam insiden berkaitan unsur jenayah itu seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan kini dirawat di Institut Jantung Negara selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan bangunan serta ganguan kepada ketenteraman awam.
Di dalam titahnya juga, Sultan Sharafuddin turut menasihati masyarakat khususnya ahli politik agar tidak mengambil kesempatan membangkitkan isu perkauman dan keagamaan demi kepentingan politik dan parti masing-masing.
Titah baginda, masyarakat seharusnya sedar bahawa isu-isu berkaitan dengan kaum dan agama adalah sensitif dan sesuatu pandangan perlu dilakukan secara berhemah dan berperaturan tanpa perlu mempersoalkan apa yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Di samping itu Sultan Sharafuddin turut menegaskan agar masyarakat tidak sama-sekali melupakan asal-usul dan melihat kepada detik-detik sejarah pembentukan Malaysia.
Baginda bertitah pelbagai isu dan syak wasangka antara kaum dan agama yang timbul sejak kebelakangan ini yang telah sedikit sebanyak menggugat keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia adalah berpunca dari sikap sesetengah individu yang tidak mengambil berat untuk mengetahui dan memahami tentang sejarah negara secara mendalam dan sejarah pembentukan kontrak sosial.
“Rakyat perlu tahu sejarah pembentukan “kontrak sosial” iaitu satu bentuk persetujuan dan persefahaman antara pelbagai kaum semasa negara kita mencapai kemerdekaan, persefahaman yang dicapai ini adalah meliputi pelbagai aspek sosio-ekonomi dan taraf kerakyatan bagi pelbagai kaum, persetujuan melalui kontrak sosial ini kemudiannya menjadi teras dan elemen penting yang tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda. – BERNAMA