KUALA LUMPUR – Teater muzikal paling popular di dunia — The Phantom of the Opera — akan membuat persembahan di Kuala Lumpur bagi tempoh terhad di Istana Budaya, bermula 15 Jun 2019.
Tiket-tiket kini dijual melalui laman web TicketCharge bermula dari RM 200. Teater muzikal ini dibawakan oleh Lunchbox Productions, BASE Entertainment Asia dan TEG Dainty, menurut satu kenyataan.
Teater muzikal blockbuster hasil karya Andrew Lloyd Webber ini telah memenangi lebih 70 anugerah teater utama, termasuk tujuh anugerah Tony bagi Broadway dan empat Olivier Awards di West End.
The Phantom of the Opera yang menampilkan 130 pelakon, kru dan anggota orkestra serta lebih 230 kostum oleh pereka antarabangsa, akan mempersembahkan beberapa gubahan muzik Andrew Lloyd Webber yang hebat termasuk The Phantom of the Opera, Think Me and Music of the Night.
Berdasarkan novel klasik Le Fantome de L’Opera oleh Gaston Leroux, teater itu mengisahkan genius muzikal yang berselindung di sebalik topeng separuh muka, dikenali sebagai Phantom, menghuni Paris Opera House dan berusaha memenangi hati penyanyi soprano muda – Christine, tanpa menyedari cinta Christine untuk Raoul. Obsesi Phantom menjadikan jalan cerita yang dramatik.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari https://premier.ticketcharge.com.my. – BERNAMA