PEKAN – Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan berita anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 9.41 malam tadi.
Tengku Abdullah bertitah berita kematian itu amat mengejutkan memandangkan sebelum ini, anggota bomba berusia 24 tahun itu menunjukkan perkembangan positif semasa dirawat di IJN.
“Saya mewakili keluarga merasa amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku kepada Muhammad Adib, sebelum ini berita agak positif, ada nampak bertambah baik, tetapi semalam kita dikejutkan dengan kematiannya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan-badan Korporat di Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di sini hari ini.
Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak terutamanya golongan muda mengambil iktibar daripada kejadian itu supaya tidak mudah melakukan tindakan agresif dan terburu-buru apabila terjadi sesuatu perkara.
“Anak muda khususnya jangan cepat buat tindakan yang boleh menyebabkan nyawa seseorang melayang, mana-mana tindakan agresif yang boleh mendatangkan musibah cuba elak daripada ia berlaku,” titah baginda.
Muhammad Adib meninggal dunia malam tadi setelah 21 hari bertarung nyawa di IJN selepas dimasukkan ke institut berkenaan untuk mendapatkan rawatan akibat parah dipercayai diserang perusuh dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor bulan lepas.
Kematian Muhammad Adib menyebabkan pelbagai pihak termasuk pemimpin negara dan rakyat di negara ini menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan nasib keluarganya, lebih-lebih lagi mangsa dijadual akan mendirikan rumah tangga bersama tunangnya Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, pada Sabtu ini.
Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah yang juga seorang penggemar sukan lasak turut mengingatkan penganjur sebarang acara sukan itu supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan sebelum mengadakan sebarang kejohanan.
“Perlu ambil serius (aspek keselamatan)…kita tidak boleh anjur sewenang-wenangnya kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan peserta dan penonton yang menyaksikan kejohanan itu,” titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian ketika diminta mengulas tentang kemalangan yang menimpa pelumba Cub Prix negara Hafiz Nor Azman ketika bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Dataran Bandar Penawar Kota Tinggi, Johor Ahad lalu mengakibatkan mangsa meninggal dunia selepas mengalami cedera parah.
Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid dalam laporan sebuah akhbar sebelum ini mendakwa terdapat unsur kecuaian dalam penganjuran kejohanan itu dan mahu satu jawatankuasa khas diwujudkan untuk meneliti insiden yang berlaku. – BERNAMA