MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka setakat ini tidak menerima sebarang aduan sama ada daripada pengguna mahu pun peniaga mengenai masalah bekalan telur yang tidak mencukupi di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Melaka, Jaiya Abu berkata berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan di pasar raya, kedai runcit, dan pasar basah, pihaknya memberi jaminan bekalan telur ayam itu mencukupi khususnya ketika musim perayaan Krismas, Selasa ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengadakan perjumpaan bersama pegawai dari Jabatan Veterinar negeri dan difahamkan faktor kenaikan harga telur pelbagai gred dikesan kebelakangan ini berpunca daripada pertukaran mata wang asing yang mana bahan mentah bagi bekalan makanan ayam diimport dari luar negara.
“Selain itu, peniaga mendapatkan bekalan telur pada harga yang tinggi daripada pemborong, namun kami akan terus tingkatkan pemantauan bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga berlebihan kepada pembeli,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas mengadakan pemantauan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Krismas 2018 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini.
Jaiya berkata 11 barang tersenarai di bawah skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bermula hari ini hingga Khamis (27 Dis).
“Antara barangan yang terlibat adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, telur gred A, B dan C, tomato dan lada benggala hijau.
“Peniaga perlu mengunakan tag harga berwarna merah jambu bagi barangan itu. Tag harga harus jelas, mudah dibaca, menggunakan unit pengukuran atau berat yang ditetapkan dan memaparkan harga yang betul serta tidak mengelirukan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata peniaga yang tidak mematuhi peraturan boleh diambil tindakan mengikut AKHAP 2011, boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya oleh mahkamah, atau dikompaun RM50,000.
“Aduan terhadap peniaga yang tidak mematuhi undang-undang skim itu boleh disalurkan melalui pelbagai medium termasuk emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-2794317 atau pun di mana-mana pejabat KPDNHEP seluruh negara,” katanya. – BERNAMA