BUTTERWORTH – Tiga mat rempit, termasuk seorang pelajar sebuah kolej swasta, ditahan polis ketika mereka sedang leka berlumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi Samseng Jalanan bermula pukul 11 malam tadi hingga 7 pagi ini, ketiga-tiga lelaki itu masing-masing berusia 17 hingga 22 tahun, ditahan kerana berlumba haram dan melakukan aksi yang bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.
Beliau berkata lelaki terbabit masing-masing merupakan pelajar kolej swasta, pekerja kilang dan bekerja sendiri kini direman untuk siasatan lanjut. Seorang daripadanya juga pernah ditahan atas kesalahan sama sebelum ini.
Operasi itu, katanya akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan mat rempit yang menjadikan kawasan BORR sebagai lokasi lumba haram terutama pada malam minggu. – BERNAMA