AKHIRNYA… Buat pertama kali dalam masa lebih sedekad, sebuah kereta api Korea Selatan berjaya menyeberang masuk ke negara jiran seterunya lebih 60 tahun, Korea Utara lewat semalam.
Ia menandakan bermulanya kajian bersama untuk sambung semula khidmat tren antara dua negara Semenanjung Korea itu, yang secara teknikal masih lagi dianggap berperang kerana terikat kepada perjanjian gencatan senjata.
Kajian selama 18 hari itu melibatkan puluhan pegawai dan pakar kereta api dari kedua-dua buah negara tetangga. Sepanjang tempoh itu mereka akan tinggal dan bekerja di dalam kereta api ini untuk kaji sistem tren Korea Utara.
Rancangan untuk hubung sistem kereta api dua negara Korea terkandung dalam perjanjian yang dicapai antara pemimpin kedua-dua negara pada awal tahun ini. Bagaimanapun projek itu tergendala pada akhir Ogos lalu.
Ini kerana ada kebimbangan ia mungkin langgar sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara yang bangun sistem peluru berpandu nuklear. Namun pengecualian sudah diberikan bagi kajian bersama itu.
Kereta api enam gerabak itu bakal jelajah 1,200 kilometer di Korea Utara dalam dua fasa iaitu pertama sehingga Sinuiju yang hampir di sempadan China dan berikutnya ke Mount Kumgang sehingga dekat sempadan Rusia.
Dua negara ini pernah ada hubungan tren barang di sempadan bersama pada 2007 sebelum ditamatkan setahun kemudian. Seoul dan Pyongyang berharap dapat sambung balik khidmat itu menjelang akhir tahun ini. – AFP