PANGKALAN UDARA AL-ASAD – Presiden Donald Trump mengambil kesempatan ke atas lawatan mengejut pertama beliau ke zon konflik di Iraq semalam untuk mempertahankan keputusan Amerika Syarikat (AS) berundur dari Syria sekali gus mengisytiharkan berakhirnya peranan AS sebagai ‘polis dunia’.
Ia adalah kunjungan pertama beliau ke pangkalan tentera udara AS itu sejak dilantik sebagai presiden dua tahun lalu.
Trump tiba di Al-Asad di barat Iraq pada kira-kira jam 7.16 petang semalam ditemani isterinya, Melania.
Pemimpin AS itu dikatakan bertemu lebih 100 anggota pasukan khas AS dan turut mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin tentera sebelum berlepas beberapa jam kemudian, kata wartawan AFP.
Pertemuan awal yang dijadual dengan Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi turut dibatalkan dan digantikan dengan perbualan di telefon, kata pejabat pemimpin itu.
Trump dikritik hebat selepas dikatakan enggan melawat anggota tentera AS di pangkalan berkenaan sejak dilantik sebagai presiden. Spekulasi yang tersebar sebelum ini terbukti benar apabila Trump akhirnya berkunjung ke Al-Asad susulan keputusan kontroversi beliau untuk mengurangkan tentera AS di Afghanistan dan berundur sepenuhnya dari Syria.
“Adalah tidak adil untuk kita menanggung semua bebanan itu. Kita tidak mahu negara-negara terbabit terus mempergunakan kehebatan ketenteraan kita untuk melindungi mereka. Ini mengarut,” katanya. – AFP/BH ONLINE