PENYELAMAT yang membantu mangsa tsunami Selat Sunda pada Rabu berdepan dengan cabaran untuk sampai ke kawasan pedalaman di pantai barat pulau Jawa ekoran hujan lebat selepas tsunami yang telah mengorbankan lebih 400 mangsa.
Hujan lebat menimpa kampung-kampung nelayan sepanjang pantai, menjadikan jalan raya berlumpur menyebabkan konvoi bantuan tersekat.
Pasukan bantuan yang turut membawa jentera berat selain bantuan barang keperluan tidak dapat melalui jalan yang terputus akibat keadaan yang sukar.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran baharu agar orang awam tidak mendekati pantai kerana dibimbangi tsunami susulan melanda.
Banjir sedalam 1.5 meter dilaporkan di empat buah kampung di kawasan Labuan, lapor media tempatan, Tribun.
Selain kediaman penduduk tempatan, sebuah dapur sementara untuk menempatkan mangsa tsunami juga tenggelam.
Ada penduduk yang ditempatkan di pondok polis, malah ada yang berlindung di kedai-kedai yang tidak dilanda banjir, lapor Tribun.
Ada penduduk tempatan yang berkata banjir pada “paras dada” disebabkan sungai melimpah dan juga air pasang di laut serta longkang yang tersumbat. – Agensi