ANGKA korban tsunami Selat Sunda kini meningkat sekurang-kurangnya 373 nyawa, kata pegawai Indonesia pada Isnin.
Pihak berkuasa juga bimbang gegaran susulan gunung berapi Anak Krakatao yang berpotensi mencetus lagi tsunami.
“Seramai 1,459 orang cedera, manakala 128 masih hilang, kata Sutopo Purwo Nugroho, jurucakap agensi bencana Indonesia dalam satu kenyataan.
Tsunami melanda kawasan selat itu Sabtu lalu tanpa amaran pada waktu malam, memusnahkan kediaman, hotel dan bangunan lain.
Angka korban mungkin meningkat lagi selepas pihak berkuasa mendapat maklumat dari kawasan barat pulau Jawa dan selatan Sumatra.
Pada awal hari Isnin, pihak berkuasa Indonesia meletakkan angka kematian pada 281 nyawa, dan yang cedera 1,016 orang.
Bantuan kerajaan dan badan bukan kerajaan mula memasuki Pandeglang, kawasan paling teruk dilanda tsunami di pantai barat pulau Jawa.
Di Lampung, selatan Sumatra, puluhan orang dilaporkan maut.
Pihak berkuasa sudah mengeluarkan amaran kepada penduduk kawasan pantai dekat Selat Sunda supaya tidak mendekati pantai, kerana ditakuti ombak besar akan berlaku pada Selasa. – Agensi