EDINBURGH, Scotland – Satu ukiran unik berbentuk lobster untuk sarung gagang telefon berjaya diselamatkan daripada dijual ke negara lain selepas kerajaan Britain membekukan sementara eksport hasil seni tersebut.
Langkah itu membolehkan Galeri Kebangsaan Scotland mengemukakan bidaan tertinggi £850,000 (RM4.5 juta) untuk mengekalkan ukiran tersebut di sini.
Telefon lobster itu adalah salah satu daripada karya ulung pengukir, Salvador Dali yang dihasilkan untuk penaung gerakan seni Surrealism, Edward James pada 1938.
Sebanyak 11 ukiran lobster dihasilkan Dali untuk dipasang pada gagang telefon James di rumahnya di London dan Sussex Barat. Empat daripadanya dicat warna merah dan tujuh warna putih.
Lapan daripada hasil seni itu boleh ditemui di muzium seni seluruh dunia. Telefon lobster dianggap antara objek paling popular dalam sejarah gerakan seni tersebut. – Agensi/Kosmo Online