KUALA LUMPUR – Ukraine bersedia berunding dengan Rusia bagi meredakan ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara sejak beberapa bulan lalu, berikutan perbalahan di Laut Azov menyaksikan 24 kelasi kapal Ukraine ditahan.
Duta Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo berkata Kiev sentiasa menyokong penyelesaian diplomatik terhadap apa jua pertikaian dan yakin isu itu boleh diselesaikan secara aman berlandaskan undang-undang antarabangsa dan kewajipan dua hala sedia ada.
“Kami percaya semua negara perlu menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan sebarang usaha untuk tidak mematuhinya hanya akan menimbulkan ketidakstabilan.
“Ukraine negara yang aman dan komited untuk menyelesaikan permasalahan melalui pendekatan politik serta diplomatik. Ia akan membantu dalam menuntut pembebasan kelasi kami,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di ibu pejabat agensi berita itu di sini baru-baru ini.
Pada 25 Nov lalu, konflik meletus lagi selepas tentera Rusia dilaporkan merampas tiga kapal Ukraine dan menahan 24 kelasi ketika kapal itu menyeberangi Selat Kerch dari Laut Hitam ke Laut Azov, kawasan perairan di utara Laut Hitam yang dikongsi kedua-dua negara.
Rusia menuduh kapal itu menceroboh dan mengabaikan amaran pihak pengawal sempadan.
Sebagai tindak balas undang-undang tentera dikenakan ke atas Ukraine selama 30 hari kerana Presiden Petro Poroshenko menyifatkan ia sebagai ancaman “serius”.
Mengulas lanjut duta itu berkata sekatan antarabangsa akan menjadi satu lagi kaedah berkesan bagi Ukraine menyelesaikan situasi sekarang tanpa membabitkan tindakan ketenteraan.
Mengenai pengumuman Kesatuan Eropah (EU) Khamis lepas berhubung sekatan ekonominya selama enam bulan ke atas Rusia, Nechytaylo berkata ia jelas menunjukkan masyarakat antarabangsa menentang sebarang pencerobohan yang menyalahi undang-undang.
“Alasannya mengapa kita percaya kepada sekatan adalah kerana tidak mahu adanya pendekatan kententeraan – sudah tentu itu bukan cara kami.
“Walaupun sekatan cara sangat berkesan menyampaikan mesej kepada penceroboh, Ukraine percaya ia tidak bersendirian dalam hal itu. Tidak kira berapa besar atau kecil negara itu, di bawah undang-undang antarabangsa kita adalah sama,” katanya sambil menghargai sokongan konsisten yang ditunjukkan masyarakat antarabangsa dan pemimpin kuasa dunia setakat ini.
Ditanya bagaimana untuk mengumpulkan sokongan lebih banyak daripada pihak antarabangsa, Nechytaylo berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta organisasi berkaitan selalu menjadi rujukan terbaik Ukraine.
“Kami masih percaya PBB platform terbaik bagi menyuarakan kedudukan kami kerana tiada badan dunia lain yang mewakili seluruh dunia.
“Selain PBB, kami juga minta pertolongan UNCLOS dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Malah, Presiden kami (Ukraine) telah bertemu dengan Setiausaha Agung NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) Jens Stoltenberg dan Canselor Jerman (Angela Merkel),” katanya.
Pada 27 Nov, sebuah mahkamah di Simferopol yang terletak di Republik Autonomi Crimea mengarahkan 12 anak kapal ditahan selama dua bulan sebelum dibicarakan termasuk tiga yang sedang menerima rawatan di hospital. – BERNAMA