JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad yakin tiada lagi anggota mahupun pimpinan parti di peringkat negeri akan meninggalkan parti itu ekoran langkah presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden kepada timbalannnya Datuk Seri Mohamad Hassan.
Sambil menyelar tindakan keluar parti beberapa wakil rakyat UMNO dari Johor sebelum ini, Hasni yang juga Ketua Pembangkang Johor turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah tidak berprinsip yang dibuat secara melulu.
Beliau yang mengikuti perkembangan tindakan para anggota yang keluar parti sama ada dari Semenanjung dan juga di Sabah mendapati UMNO, di peringkat akar umbi tidak terjejas, hanya berlaku di peringkat kepimpinan.
Menurutnya, mereka yang keluar parti ini tidak punyai daya tahan yang kuat dan hanya memikirkan tentang jangka masa pendek sahaja.
“Sedangkan kita jadi wakil rakyat, kita bukan sahaja memikirkan tentang pembangunan yang dapat dibawa ke kawasan, tetapi kita menjadi calon dan wakil rakyat kerana kita percayakan perjuangan parti.
“Jadi mereka yang meninggalkan perjuangan ini boleh dianggap tidak berpendirian. Saya hairan macam mana mereka boleh masuk UMNO (sebelum ini),” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu majlis di sini, Ahad malam.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat UMNO dan bekas pimpinan parti yang bertindak keluar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mei lalu, tiga orang ADUN UMNO Johor mengisytiharkan keluar parti.
Mereka ialah Rasman Ithnain (Sedili), Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau) yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baru-baru ini, Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan enam Anggota Parlimen UMNO keluar parti iaitu Anggota Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor); Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam); dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah). – BERNAMA