KUALA LUMPUR – Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak 4.4 peratus bagi tempoh suku pertama berakhir 30 Nov, 2018 kepada RM110.06 juta susulan meraih perolehan jualan suku tertinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata perolehannya melonjak kepada RM1.26 bilion daripada RM938.17 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Ia menyifatkan prestasi pertumbuhan sebanyak 34.5 peratus itu disumbang oleh permintaan kukuh di peringkat pasaran maju serta sedang pesat membangun.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai berkata kumpulan itu juga telah memulakan tahun kewangan 2019 dengan sentimen yang lebih positif.
“Tidak mudah untuk terus mencatatkan keputusan kukuh dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar dan ini adalah hasil daripada usaha pemasaran serta program mempertingkat kecekapan yang dijalankan secara berterusan.
“Saya yakin kita mampu melihat prestasi tahun depan yang lebih baik jika terus menumpukan usaha menambah baik kualiti dan kecekapan selain melaksanakan teknologi maju dalam operasi,” katanya.
Top Glove berkata walaupun pelan pengembangan beberapa kemudahan kilang sedia adanya berjalan lancar, kumpulan itu menjangkakan persekitaran perniagaan akan terus mencabar pada tahun depan akibat persaingan sengit, kenaikan kos serta pelaksanaan gaji minimum yang berkuat kuasa bulan depan.
“Bagaimanapun, kumpulan ini percaya prospek industri kekal positif berikutan peningkatan penggunaan sarung tangan, khususnya di negara sedang pesat membangun dan dijangka berkembang sebanyak 10 peratus setahun,” katanya. – BERNAMA