GEORGE TOWN – Bagai mahu membuktikan usia hanyalah angka, sekumpulan sembilan pendaki yang rata-ratanya berusia melebihi separuh abad hari ini memulakan misi menawan Annapurna Base Camp (ABC), Ghandruk, Nepal.
Ketua ekspedisi yang juga penganjur A. Chandrasegaran, 60 berkata mereka yang termasuk enam anggota Penang Sport Club Hash, telah menjalani latihan sejak Februari lalu bagi menghadapi keadaan ekstrem di sana termasuk suhu sejuk melampau.
“Kita telah melakukan beberapa rejim latihan pendakian seperti mendaki bukit-bukit sekitar Pulau Pinang dan lokasi lain di dalam dan luar negara yang bertujuan meningkatkan stamina,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, di sini, hari
Katanya dia pernah mendaki ABC pada 2006 dan 2017.
“Ini merupakan kali ketiga dan berharap dapat mengulangi kejayaan tersebut,” katanya yang mempunyai pengalaman mendaki selama 26 tahun.
Katannya mereka akan memulakan perjalanan esok – dari ibu negara Kathmandu ke Pokhara, seterusnya ke kaki gunung sehinggalah ke ABC yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut itu.
Sementara itu, pesara guru dan juga satu-satunya wanita yang menyertai misi itu, G. Puvaneswary, 57, menyatakan keterujaannya kepada pemberita kerana ini kali pertama menyertai misi mendaki Annapurna.
“Sebelum ini saya sering menyertai aktiviti mendaki sekitar Pulau Pinang dan lain-lain tempat namun kali ini berbeza sedikit kerana ia melibatkan luar kawasan dan luar daripada kebiasaan.
“Cabaran tetap ada tapi saya lebih bersemangat untuk menamatkan misi hingga ke akhirnya di samping ingin menikmati permandangan yang menakjubkan di base camp tersebut,” katanya yang turut ditemani keluarga sebelum kesemua mereka berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Kathmandu, Nepal pada hari yang sama.
Pendaki lain ialah G. Raju, 68; J. Lucas, 50; R. Sugumar, 58; J. Micheal Dass, 52; P. Thanaraj Pillai, 42; A. Balakrishnan, 63 dan P. Khrishnan, 32 yang merupakan anggota ekspedisi paling muda. – BERNAMA