MELAKA – Pendakwah bebas atau ‘Ustaz selebriti’ yang menggunakan medium laman sosial dalam menyampaikan ceramah agama dinasihat agar beramanah dan berdisiplin dalam menyebarkan dakwah bagi mengelak berlakunya salah faham dan penipuan dalam ilmu agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata satu pemahaman perlu dibuat bagi menentukan takrifan terhadap ‘Ustaz selebriti’ agar masyarakat dapat membezakan antara ustaz yang benar-benar berkelayakan dalam bidang ilmu agama dan tidak hanya berceramah mengikut tafsiran yang sempit atau bermotifkan politik.
“Kalau merapu, tidak boleh (digelar ustaz) selebriti. Ia perlu diletak pada satu taraf… piawaian. Maksud selebriti dengan amanah ilmu, baru kita letak maksudnya (ustaz selebriti).
“Masyarakat juga perlu lebih bijak menilai kerana itu lebih baik, jangan hanya obses mahu belajar tanpa mengetahui ustaz itu tanpa ada disiplin ilmu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada program persidangan antarabangsa, World Zakat Forum (WZF) kali ketujuh di sini, hari ini.
Mujahid berkata ustaz-ustaz yang memberikan ilmu perlu beramanah dan caranya ialah ia ada disiplin ilmu seperti kemas bahasa Arab, fahami maksud hadis atau ayat Al-Quran dan sejauh mana ilmu dan pemahaman dalam menbuat tafsiran dalam konteks hari ini.
“Sekiranya ustaz tidak mempunyai ilmu itu ianya akan membawa kepada tafsiran yang rigid (jumud) dan akan membawa kesan yang lebih buruk iaitu boleh membawa kepada penipuan dalam penyebaran ilmu agama.
“Saya nasihatkan agar ustaz-ustaz ini lebih berdisiplin kerana mereka perlu ingat penonton dalam laman sosial seperti Youtube terdiri daripada mereka yang berilmu dan boleh menilai apa yang disampaikan,” katanya.
Mujahid, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu, berkata, dari sudut penguatkuasaan, tanggungjawab itu di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di negeri masing-masing untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara berkenaan.
Bagaimanapun tanggungjawab di peringkat pusat adalah memastikan bahawa masjid dan surau dimakmurkan dengan ilmu yang betul dan bukannya dengan ilmu yang tidak beramanah dan bermotifkan politik.
“Saya menyerahkan kebijaksanan MAIN negeri mengambil tindakan sewajarnya kerana mereka bertanggungjawab memastikan bahawa tidak berlaku penularan ilmu yang tidak beramanah yang boleh mendatangkan kesan negatif dan perpecahan dalam masyarakat akibat terdorong dengan tafsiran sempit dan bersifat kepartian,” katanya. – BERNAMA