KOTA BHARU – Seorang pekerja sebuah kedai makan yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemukan mati selepas premis tersebut yang terletak di Jalan Gajah Mati di sini terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa yang pekak dan bisu dijumpai rentung oleh pasukan bomba selepas berjaya memadamkan kebakaran pada 7.17 pagi.
Ketua Bomba Zon Kota Bharu, Pegawai Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.56 pagi dan tujuh jentera bomba dengan 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Darul Naim dan BBP Tunjong bergegas ke lokasi.
Beliau berkata kebakaran melibatkan dua premis kedai makan dan sebuah rumah kediaman.
“Sebaik tiba, api sudah membakar hampir 70 peratus premis dan api dapat dikawal pada 6.10 pagi,” katanya dan menambah setakat ini, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.
Jelasnya, mangsa yang rentung belum dikenal pasti identitinya dan hanya dikenali sebagai Mok Su, 40, yang juga pekerja di premis berkenaan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai makan, Zaidah Mohd Istiak, 50, berkata semasa kejadian dia sedang tidur di tingkat bawah premis berkenaan bersama ibu saudara serta seorang cucunya yang berusia enam tahun.
“Saya tersedar dan melihat api sudah marak di ruang dalam kedai dan terus menjerit sekuatnya untuk mengejutkan orang lain termasuk dua lagi pekerja yang tidur di tingkat atas.
“Seorang pekerja lelaki sempat terjun untuk menyelamatkan diri manakala Mok Su gagal keluar dari bilik disebabkan api terus marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Zaidah berkata dia terpaksa memecahkan pintu belakang premis untuk keluar kerana ruang hadapan dalam kedai sudah tidak dapat dilalui.
“Kebakaran berlaku dengan pantas dan kami semua tinggal sehelai sepinggang. Apa yang menyedihkan semua keperluan persekolahan cucu saya yang akan memulakan persekolahan di Tahun Satu esok turut hangus,” katanya. – BERNAMA