KLANG – Seorang wanita warga emas yang kurang upaya berusia dalam lingkungan 70-an terselamat dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Kampung Pendamar Fasa II, Pelabuhan Klang dekat sini awal hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Juyana @ Azlan Musa berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang berada di bilik tidur di bahagian belakang rumah itu diselamatkan anggota bomba yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
Katanya sebaik menerima panggilan pada pukul 6.38 pagi, sepasukan 15 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang merupakan wanita warga emas yang juga orang kurang upaya sesak nafas akibat terhidu asap kebakaran. Dia kemudian diserahkan kepada pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati beberapa anggota keluarga mangsa yang berada di bahagian depan rumah sempat keluar menyelamatkan diri.
Katanya rumah teres kelas A berkeluasan 40 x 75 kaki persegi hangus terbakar kira-kira 80 peratus dalam kejadian itu. – BERNAMA