WASHINGTON – Wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, menggambarkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai ‘binatang’ dan ‘pac-man’ yang akan menghancurkan semua halangan, termasuk penyokongnya, dalam lebih 400 mesej WhatsApp kepada rakannya sebelum dibunuh pada 2 Oktober lalu.
Khashoggi menghantar teks itu kepada aktivis Arab Saudi yang berada di Montreal, Omar Abdulaziz, lapor CNN semalam.
Mesej berkenaan dikongsi Abdulaziz, termasuk rakaman suara, gambar dan video, menggambarkan lelaki berhadapan masalah besar oleh apa yang dianggapnya sebagai Putera Mahkota yang keanak-anakan dan panas baran.
“Lebih banyak mangsa dimakannya, lebih banyak beliau mahukan.
“Saya tidak terkejut jika penindasan sampai kepada mereka yang menyokongnya,” menurut salah satu mesej Khashoggi yang dihantar Mei lalu, sejurus selepas sekumpulan aktivis Arab Saudi ditangkap.
Dalam pertukaran teks hampir setiap hari antara Oktober 2017 dan Ogos 2018, Khashoggi dan Abdulaziz merangka pelan membentuk tentera elektronik membabitkan belia negara itu dan mendedahkan kepalsuan propaganda negara di media sosial, memberi manfaat kepada profil Khashoggi dan mengumpul 340,000 pengikut Abdulaziz, 27, di Twitter.
“Jamal percaya Putera Mohammed adalah isunya, punca masalah dan berkata ‘budak itu perlu dihentikan’,” katanya dalam temubual dengan CNN kelmarin.
Namun pada Ogos lalu, ketika beliau percaya perbualan mereka mungkin dipintas pihak berkuasa Arab Saudi, Khashoggi mula berasa terancam.
Dua bulan kemudian, beliau dibunuh.
Kelmarin, Abdulaziz memfailkan saman terhadap syarikat Israel yang mencipta perisian dipercayai digunakan untuk menggodam telefon bimbitnya. — Agensi/BH ONLINE