KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengingatkan orang awam supaya tidak terpedaya dengan dengan tawaran pinjaman peribadi daripada individu yang mendakwa mereka adalah ejen koperasi.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan malam ini berkata semua koperasi yang berdaftar dengan SKM tidak menggunakan perkhidmatan ejen untuk menawarkan perkhidmatan pinjaman peribadi kepada orang awam dan perkhidmatan pinjaman oleh koperasi hanya disediakan untuk anggota koperasi sahaja.
“Sekiranya anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen sesebuah koperasi dan menawarkan pinjaman peribadi, sila hubungi pihak koperasi tersebut untuk mendapatkan pengesahan berhubung tawaran berkenaan,” kata kenyataan itu.
Selain itu SKM berkata terdapat juga ejen yang menawarkan pinjaman peribadi daripada bank-bank tempatan kepada orang awam yang mana peminjam dikehendaki menandatangani borang keanggotaan koperasi dan mereka juga perlu membayar ansuran pinjaman bulanan serta yuran bulanan keanggotaan koperasi.
Untuk itu, orang awam diingatkan supaya menyemak semua dokumen berkaitan perjanjian pinjaman yang ditawarkan oleh ejen sebelum menurunkan tandatangan terutamanya menyemak terlebih dahulu maklumat jumlah pinjaman yang diluluskan, jumlah sebenar yang akan diterima dan bayaran-bayaran yang perlu dibuat sebagai peminjam. – BERNAMA