CEKUP… Tujuh sekeluarga rakyat Malaysia, ditangkap pihak berkuasa Australia dalam operasi cegah eksploitasi pekerja asing, di sebuah rumah sewa di panggir bandar ini, semalam.
Empat lelaki, tiga wanita bersama budak lelaki berusia 13 tahun dari satu keluarga, ditangkap di sebuah rumah di Anketell di selatan bandar Perth, kata Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam satu kenyataan media.
Seorang daripada lelaki itu yang berusia 28 tahun didapati tinggal secara haram sejak Julai 2017, disyaki terbabit dalam eksploitasi pekerja asing di sektor pertanian, dan bertindak sebagai ejen pendatang tidak berdaftar.
Dua lagi lelaki yang ditangkap ialah adik beradiknya masing-masing berusia 23 tahun dan 24 tahun serta bapa mereka berusia 54 tahun. Ibunya berusia 47 tahun dan adik ipar perempuan berumur 24 tahun, turut ditangkap.
Menurut kenyataan ABF, mereka didapati tinggal di Australia secara haram serta percaya lelaki berusia 23 tahun dan 24 tahun itu bekerja secara haram. Keluarga itu kini ditahan di pusat tahanan tempatan.
Mereka dijangka dihantar pulang ke Malaysia tidak lama lagi. Pegawai Penguat Kuasa ABF Timur Australia, Clint Sims berkata, pekerja haram yang dieksploitasi biasanya jarang dibayar gaji dan dilayan dengan teruk.
“Mereka yang tidak bertanggungjawab eksploitasi pekerja haram buat untung besar. Perbuatan itu merugikan bisnes tempatan yang ambil pekerja ikut saluran ditetapkan, serta membayar gaji,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV
*Video sekadar hiasan…