MINAT… Seorang ahli perniagaan sanggup tawar RM5 juta untuk beli kereta Proton Saga generasi pertama dengan nombor pendaftaran Proton 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Tawaran itu jika baginda berkenan sanggup lelong kenderaan tersebut, telah dikongsi melalui satu hantaran dalam akaun sosial Facebook milik ahli perniagaan dengan nama Datuk Seri Zaienal Abidin.
Ketika dihubungi beliau bagaimanapun tidak dedahkan nama ahli perniagaan yang mahu buat tawaran berkenaan, tetapi menjelaskan harga RM5 juta itu berdasarkan kepada nilai kereta nasional pertama itu.
Katanya, kereta lama tersebut mempunyai nilai sentimental dan sejarah yang sangat tinggi kerana bukan sahaja kereta nasional keluaran Proton yang pertama dengan nombor pendaftaran khas ketika itu Proton 1.
Malahan juga kerana individu-individu yang pernah menggunakan kereta berkenaan. Justeru kata Zaienal, tawaran harga RM5 juta itu sebenarnya memang adalah wajar.
“Proton 1 ini telah dipandu oleh dua orang sultan, iaitu Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Ibrahim, dan dinaiki ‘dua’ perdana menteri, iaitu Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.
Proton 1 milik Sultan Johor itu menjadi perhatian dan perbualan apabila Sultan Ibrahim sendiri memandu ketika baginda hantar Mahathir ke lapangan terbang selepas pertemuan antara kedua-duanya baru-baru ini.