GEMPAR… Pengguna media sosial kecoh selepas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beri kejutan kepada pengikutnya menerusi Twitter kerana ‘like‘ atau ‘suka’ satu catatan pornografi.
Menurut laporan portal The Star Online, catatan dengan kandungan erotik yang ‘disukai’ oleh mantan naib presiden UMNO itu memaparkan video tidak ditapis – seorang wanita Barat boleh dilihat berdiri di hadapan singki dapur.
Catatan aneh itu bertajuk “******* the stepmother with force…” namun sejurus selepas status yang terima ‘tanda suka’ tersebut diterbitkan melalui Twitter, beberapa pengikutnya hantar petikan skrin kandungan itu kepada beliau.
Netizen terbabit kemudian menuntut bekas menteri pertahanan itu supaya segera memberikan penjelasan sebelum keadaan berkenaan jadi lebih teruk. Ketika dihubungi, Hishammuddin mengesahkan akaun Twitternya dicerobohi.
“Digodam. Kakitangan saya sedang berusaha tanganinya,” kata beliau yang juga Anggota Parlimen Sembrong itu secara ringkas dalam kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp dengan tiga emotikon ketawa kepada pihak media.
“Sekurang-kurangnya, saya masih relevan,” tambah Hishammuddin seperti yang dipetik oleh The Star Online. Semasa insiden itu berlaku kelmarin, beliau secara kebetulan sedang bercuti bersama-sama keluarga di luar negara.
Menurut portal berita tempatan itu, Hishammuddin memang mempunyai sekumpulan kakitangan tetap yang bertugas menguruskan kandungan platform media sosialnya termasuk melakukan pemantauan jika diserang musuh.
Kandungan eksplisit itu sudahpun dipadamkan daripada Twitter Hishammudin. Selain itu, akaun pengguna asal yang memuat naik catatan itu didapati sudah tidak lagi wujud. – Agensi/Mynewshub.TV