SEORANG bekas tentera diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini terhadap dua tuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan di sebuah hotel, tahun lalu.
Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu terhadap Muhamad Nizam Aripen, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh dan menetapkan 1 dan 2 April ini untuk tertuduh membela diri.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menjadi orang tengah ke atas dua wanita di sebuah hotel di Taman AST di Seremban, pada jam 12.05 tengah malam, 20 Januari tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh dan Aida Syafinaz Zainuddin.
Sementara itu, Haresh, ketika ditemui media, berkata tiga saksi pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dan anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. – BERNAMA