SEORANG wanita muda Filipina yang bekerja di Arab Saudi menarik perhatian media sosial selepas berkongsi kisah pertemuan dengan suaminya melalui permainan video dalam talian.
Menurut Filipino Times, Samra, 23, seorang pembantu domestik di Arab saudi hanya bermain permainan video RPG (role-playing game) pada masa terluang.
Bagaimanapun dia tidak menyangka pertemuannya dengan Triston Wallin, seorang lelaki berusia 21 tahun yang tinggal di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) berakhir dengan perkahwinan.
Selepas pertemuan awal mereka dalam dunia permainan video pada Jun 2017, mereka mula berbual dan berhubung antara satu sama lain setiap hari melalui panggilan video.
Hubungan mereka semakin mesra melalui permainan video yang mana Triston, seorang ‘gamer’ profesional sering memberikan wang dan barang-barang ‘rare’ kepada Samra.
Samra menceritakan bahawa selepas tempoh tertentu, Triston melamarnya tetapi dia tidak terus bersetuju kerana belum bersedia.
Bagaimanapun pada hari lahir Triston, dia memberikan hadiah paling manis apabila bersetuju untuk menerima cinta Triston.
Pada September tahun lalu, Triston mengajak Samra berkahwin melalui panggilan video dan pasangan itu berkahwin pada Disember lepas di Filipina.
Triston terbang dari AS dan Samra dari Arab Saudi untuk pertama kali bertemu di Filipina.
Sebaik tiba, Triston sekali lagi membuat lamaran di hadapan Samra dan dia setuju untuk memeluk Islam, agama yang dianuti Samra.
Pasangan itu mengadakan dua majlis perkahwinan, yang pertama mengikut perkahwinan Muslim tradisional dan yang kedua mengikut cara Barat.
Triston berkata dia merancang untuk membawa Samra ke AS yang mana dia akan membantu isterinya menjadi warganegara AS.
Kisah cinta mereka yang unik juga dipaparkan dalam program gaya hidup GMA-7, ‘Kapuso Mo, Jessica Soho’. – gmanetwork