KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera bertindak terhadap pemilik akaun Facebook (FB) bernama Eric Liew, yang secara jelas menghina Sultan Muhammad V.
Ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata komentar di FB oleh Eric dengan mengaitkan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, suatu penghinaan dan fitnah jahat.
“Ini suatu penghinaan dan fitnah jahat yang melampau terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan.
“Kalau di negara lain termasuk negara jiran Thailand, orang seperti ini sudah lama menerima tindakan undang-undang yang keras.
“Mohon semua dapat bersama membuat laporan polis di samping dijadikan viral di FB dan media sosial supaya segera diambil peduli dan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi catatan di FB beliau, hari ini.
Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Mohd Hazmi Mohd Rusli, dipetik berkata kes membabitkan komentar menghina itu tidak patut dipandang remeh.
Menurutnya, ini kerana Jalur Gemilang, Negaraku, bahasa Malaysia dan institusi Yang di-Pertuan Agong adalah antara lambang negara dipandang tinggi serta dilindungi perlembagaan dan undang-undang.
“Kenapakah selepas menjadi negara berdaulat selama lebih 60 tahun, lambang negara ini masih tidak dihormati oleh sesetengah rakyat Malaysia?
“Penguatkuasaan undang-undang adalah amat perlu bagi membanteras perkara (seperti) ini daripada terjadi,” katanya seperti dilapor sebuah portal berita dalam talian, hari ini.
Beliau yang juga profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia, berkata kebiadapan lelaki itu juga menunjukkan dia tidak menghormati rukun kedua Rukun Negara ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.
Justeru, katanya, bagi membendung kejadian seperti itu di masa depan, sesiapa saja terbabit sepatutnya berdepan tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, ia bagi mengingatkan masyarakat supaya menyuarakan pandangan mereka secara berhemah serta menghormati keutuhan Rukun Negara. – BH Online