TEGAS… Ekoran video tular paparkan wajah seorang gadis mirip juara Dewi Remaja 2018/2019, kelihatan berparti sambil pegang gelas air dipercayai arak, pihak penganjur tampil buat kenyataan.
Melalui akaun sosial Instagram rasmi Majalah Remaja, pemilik jenama Dewi Remaja, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. mengeluarkan kenyataan awal berhubung kontroversi peserta terbabit.
“Selaku pemilik jenama Dewi Ramaja, pihak Nu Ideaktiv memandang serius terhadap video yang didakwa netizen melibatkan peserta-peserta Dewi Remaja 2018/2019. Perkara ini dalam siasatan kami.
“Tindakan yang sewajarnya akan diambil,” tulis kenyataan tersebut merujuk juara program berkenaan, Haneesya Hanee serta dua lagi gadis mirip peserta peringkat akhir iaitu Fazreen Fazera dan Erni Shahira .
Sementara itu, Haneesya ketika dihubungi Kosmo! Online masih lagi mengambil pendekatan mengunci mulut berkenaan kontroversi yang membabitkan gadis berusia 18 tahun itu.
“Maaf, mungkin bukan sekarang. Buat masa ini, saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya melalui aplikasi sembang WhatsApp.
Sejak semalam, penularan video tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen. Rata-rata mereka mempersoalkan kredibiliti peserta Dewi Remaja yang diangkat sebagai ikon.
Buat masa sekarang, tidak dapat dipastikan sama ada video yang tersebar luas itu adalah Haneesya atau hanya individu wajah sama ibarat pelanduk dua serupa. – K! ONLINE