TAHNIAH… Juara Paralimpik 2016 di Rio, Brazil, Mohamad Ridzuan Puzi memahat sejarah muncul rakyat Malaysia pertama yang dinobat sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.
Media tempatan melaporkan, penganugerahan berprestij untuk atlet orang kelainan upaya (OKU) tersebut bakal berlangsung dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), esok.
Kejayaan Ridzuan, 31, atau lebih dikenali sebagai Dikwan mengekalkannya sebagai antara atlet paling berjaya di Malaysia, selepas pernah cipta gemilang dalam acara lompat jauh serta pecut sepanjang musim lalu.
Atlet kelahiran Padang Besar, Perlis itu memenangi pingat emas Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia tahun lalu dengan pecah rekod dunia acara 100 meter T36 (cerebral palsy), selain cipta rekod Asia bagi saingan lompat jauh.
Dia juga berjaya pulang bersama-sama tiga pingat emas. Terdahulu, Dikwan bahkan pernah muncul sebagai juara 100 meter pada Kejohanan Para Dunia 2015 di Doha, Qatar.
“Saya tidak pernah sangka menangi anugerah ini kerana ramai atlet lain turut cemerlang dalam Sukan Para Asia. Ia satu penghormatan buat saya jadi atlet Malaysia pertama raih anugerah ini,” katanya. – Agensi/Mynewshub.TV