BANK pelaburan global, Goldman Sachs Group Inc menurunkan unjuran harga minyak Brent bagi 2019 kepada AS$62.50 setong berbanding unjuran sebelum ini AS$70 setong, berikutan peningkatan semula lebihan minyak dan pengukuhan pengeluaran syal Amerika Syarikat (AS).
Ia juga mengunjurkan minyak mentah AS, West Texas Intermediate akan berlegar pada paras purata AS$55.50 setong, lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini pada AS$64.50.
Dengan harga semasa di bawah paras diunjurkan, Goldman Sachs melihat harga komoditi itu kini berada di bawah nilai.
Ia berkata, peningkatan pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada akhir 2018 bermakna pasaran memulakan 2019 dengan bekalan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Malah, ia berkata kekangan saluran paip di Lembangan Permian AS akan pulih dengan lebih cepat daripada dijangkakan.
Projek besar yang dilaksanakan beberapa tahun lalu di Brazil dan Kanada akan meningkatkan output pada 2019.
Secara gabungan, peningkatan itu bermakna jumlah yang sedikit diperlukan untuk memenuhi pertumbuhan permintaan global, kata penganalisis Goldman Sachs, Damien Courvalin.
“Kami menjangkakan pasaran minyak akan seimbang pada kos yang lebih rendah pada 2019 berikutan paras inventori yang lebih tinggi untuk memulakan tahun ini, peningkatan berterusan dalam pertumbuhan pengeluaran syal pada 2018 di tengah-tengah keadaan inflasi kos yang rendah, jangkaan pertumbuhan permintaan lebih lemah daripada dijangkakan sebelum ini (walaupun di atas unjuran konsensus kami) dan peningkatan kapasiti pengeluaran kos rendah,” katanya.
Pada 2018, harga minyak mentah bergerak dalam turun naik tidak menentu, dengan meningkat ke paras tertinggi empat tahun kepada lebih AS$86 setong pada Oktober dan kemudian jatuh sebanyak 42 peratus menjelang akhir tahun.
Courvalin berkata, penjualan besar-besaran dilihat keterlaluan memandangkan ia mengambil kira kejatuhan pertumbuhan ekonomi global kepada kira-kira 2.5 peratus pada 2019, di bawah unjuran ahli ekonomi iaitu peningkatan 3.5 peratus.
“Pasaran minyak sudah mengambil kira tinjauan prospek pertumbuhan pesimis yang berlebihan. Ini sekali gus menetapkan tahap harga untuk pulih selagi pertumbuhan global tidak jatuh di bawah 2.5 peratus,” katanya. – Bloomberg