KESAL… Pelantikan politik Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) seolah-olah menunjukkan usaha Pakatan Harapan (PH) runtuhkan institusi Islam dalam negara.
Turut curi perhatian rakyat khususnya yang beragama Islam apabila Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) daripada DAP, Sheikh Omar Ali turut dilantik pentadbiran rejim PH sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, pelantikan itu dilihat amat janggal berikutan matlamat ahli DAP adalah berdasarkan visi cauvinis parti mereka.
“Bagaimana Yadim akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah Islam di sebalik lantikan politik tanpa berlaku keadaan berat sebelah kepada pendakwah lain yang tidak sealiran fahaman politiknya atau berada di atas pagar?
Baca: DAP Bakal Kawal Yadim Dalam Misi Hancurkan Islam
“Pelantikan sebegini bukan sahaja meranapkan harapan rakyat untuk lihat perubahan lebih baik dengan dogma Malaysia Baharu, malahan dilihat sengaja perkotak-katikkan Manifesto PH konon tidak akan ada lantikan politik.
“Selain itu, situasi tersebut cuba meruntuhkan institusi agama islam yang mulia seperti Yadim,” kata Shahir dalam nada kesal merujuk isu tular pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim menerusi satu kenyataan hari ini.
Semalam, satu senarai yang didakwa sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah tersebut yang baharu dipilih tersebar menerusi media sosial dan dapat kritikan teruk pelbagai pihak kerana dikaitkan dengan isu lantikan politik.
Paling dapat perhatian ialah pelantikan Sheikh Omar dari DAP yang dibantah keras netizen kerana pendirian tegar parti berkenaan sejak sekian lama sebagai anti-Islam dan ada agenda jahat tersirat. – Agensi/Mynewshub.TV
Berikut kenyataaan media Dewan Pemuda Ikatan Malaysia:
“JANGAN POLITIKKAN YADIM”
1. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, atau singkatannya YADIM ialah sebuah badan amanah yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Hussin, YAB Perdana Menteri Malaysia yang kedua pada 1 Muharam 1394, iaitu 25 Januari 1974 yang bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar berjalan seiring dan sejajar dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.
2. YADIM ialah sebuah badan amanah yang didaftarkan di bawah Trust Incorporation Ordinance 1952 yang bertanggungjawab secara langsung kepada YAB Perdana Menteri.
3. Matlamat utama YADIM adalah untuk mengembangkan dakwah massa bagi melahirkan Khaira Ummah melalui pendekatan berhikmah dengan beberapa fungsi teras untuk menyelaraskan kegiatan dakwah Islam, menyelaraskan kegiatan dakwah Islam melalui pendekatan sosial dan melahirkan pendakwah Islam berpengetahuan dan berkemahiran.
4. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia memandang serius perlantikan keseluruhan barisan ahli lembaga pengarah YADIM yang hampir kesemuanya di kalangan ahli politik. Seramai 10 daripada 12 orang atau hampir 85% adalah daripada ahli politik Pakatan Harapan, termasuk seorang daripada Parti DAP.
5. Perlantikan sebegini bukan sahaja meranapkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat perubahan lebih baik dengan dogma Malaysia Baru, malah dilihat memperkotak-katikkan Manifesto Pakatan Harapan dan meruntuhkan institusi agama islam yang mulia seperti YADIM.
6. Persoalaannya, bagaimanakah YADIM akan berfungsi untuk mengembangkan dakwah islam di sebalik lantikan politik ini tanpa berlakunya keadaan berat sebelah kepada pendakwah-pendakwah lain yang tidak sealiran fahaman politiknya atau yang berada di atas pagar? Rakyat akan melihat YADIM sebagai salah satu alat politik yang menunggang agama.
7. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia merasakan keadaan yang amat janggal telah berlaku dengan perlantikan ahli politik DAP di dalam YADIM. Matlamat DAP berdasarkan visi dan misi parti, “Mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal, iaitu sebagai sistem undang-undang tertinggi negara yang menghormati nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia dengan memberi hak yang saksama kepada setiap rakyat Malaysia”. Sekularisma adalah konsep bahawa kerajaan harus wujud terasing daripada agama atau kepercayaan agama. Amat janggal apabila YADIM, bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri dan Menteri, yang berkhidmat di dalam kerajaan, diterajui oleh Ahli Lembaga Pengarah daripada parti yang mempunyai visi dan matlamat konsep sekularisma.
8. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa Menteri bertanggungjawab memberikan penjelasan dan memperbaiki keadaan ini sebelum menjadi lebih parah.
Demi Bangsa Malaysia!
Shahir Adnan
Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia,
Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera