MUAFAKAT… Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), menggesa penduduk Cameron Highlands tidak pangkah calon parti cauvinis, DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 Januari depan.
Pemimpin pertubuhan Islam dan Melayu sederhana itu mendakwa, ia susulan, calon parti rasis berkenaan, M Manogaran sendiri pernah biadab apabila angkuh pertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Presiden Isma, Aminuddin Yahaya justeru berkata, calon kitar semula yang tampil wakili Pakatan Harapan (PH) tersebut perlu ditolak pada PRK Parlimen itu atas dasar pendirian negatifnya terhadap syiar Islam di Malaysia.
Untuk rekod, dalam kenyataannya yang disiarkan oleh The Nut Graph pada 9 Februari 2010, Manogaran menyebut bahawa tiada di mana-mana tempat dalam Perlembagaan negara yang sebut agama Islam adalah lebih penting.
Aminuddin menerusi satu kenyataan di ibu negara mendedahkan calon PH tersebut dengan sombong mendakwa tidak ada dalam perlembagaan negara yang catat Islam sebagai lebih istimewa daripada agama-agama lain.
Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, dek kerana wujudnya puak yang berfikiran sebegini, maka kempen Malaysia Negara Islam dilancarkan berikutan masih ada polemik yang mengatakan Malaysia negara sekular.
“Kalau kita tak betulkan perkara ini, lama-kelamaan generasi muda akan terima bahawa negara kita sekular. Akibatnya, agensi-agensi Islam akan terpinggir dan budaya kuning akan menular dalam masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Mat menyeru orang Melayu Islam dalam PH agar bangkit menolak Manogaran yang secara terang-terangan mempertikaikan kedudukan agama Islam.
Beliau berkata, sikap Manogaran itu seolah-olah akan memberikan ancaman kepada kedudukan Islam apabila beliau berpeluang bersuara di Parlimen dan mungkin mempengaruhi Kerajaan Pusat.
PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, Ramli Mohd Nor dari Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib serta petani tempatan, Wong Seng Yee.
Ia diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, terbatal apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk pengaruhi pengundi di kawasan itu. – Agensi/Mynewshub.TV