SEKURANG-KURANGNYA 100 banduan Palestin cedera pada Isnin semasa bertempur dengan pengawal di Penjara Ofer milik Israel di Tebing Barat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Persatuan Kelab Banduan Palestin.
Persatuan itu, yang merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan Palestin, berkata banduan terbabit cedera selepas diserang bertubi-tubi oleh pengawal penjara.
Menurut kenyataan itu, pengawal penjara rejim menggunakan peluru getah, gas pemedih mata, bom tangan, belantan dan anjing.
“Kebanyakan banduan cedera akibat tembakan menggunakan peluru getah dan ramai yang dirujuk ke beberapa hospital Israel,” menurut kenyataan itu yang menambah bahawa kebanyakan mereka telah dibawa balik ke penjara manakala 20 lagi masih dirawat.
Persatuan itu memberi amaran bahawa “serangan agresif sedemikian terhadap banduan adalah kejam dan tidak pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.”
Kenyataan itu menggesa organisasi antarabangsa segera campur tangan untuk menghentikan kekejaman dan tindakan agresif yang semakin meningkat terhadap banduan.
Radio Israel melaporkan bahawa sejumlah banduan Palestin telah melanggar disiplin penjara itu dan membakar sel tahanan selepas pentadbiran penjara menghukum 12 banduan kerana menyembunyikan telefon selular yang diseludup.
Seorang tokoh Palestin berkata Penjara Ofer menahan kira-kira 1,200 orang daripada sejumlah 6,000 banduan Palestin yang terpaksa meringkuk dalam penjara, jel dan kem tahanan Israel. – BERNAMA