KESAL… PAS desak Datuk Mujahid Yusuf Rawa menyatakan pendirian tegas dalam isu pancaran lampu berbentuk lambang salib gergasi di bangunan Grace Residence, Jelutong di Pulau Pinang.
Pada masa sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya tidak bersikap terlalu defensif sehingga dilihat lemah pertahan kepentingan Islam di Malaysia.
Beliau berkata, kenyataan menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio agama Islam itu dilihat tidak tegas dan hanya berdolak-dalik, sekali gus mengecewakan hati umat Islam di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang sendiri.
“PAS meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan pihak pemaju hartanah itu, Nova Mulia Development Sdn. Bhd. beberapa hari lalu. Kedua-dua kenyataan itu cuba memperbodohkan rakyat negara ini.
“Setelah beberapa minggu gambar salib itu ditularkan, sekarang mereka mendakwa kononnya ia adalah abjad Cina yang bermaksud wang atau nasib baik,” kata Nasrudin secara sinis menerusi satu kenyataan di ibu negara, hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan pemimpin Pulau Pinang itu dan pihak pemaju terbabit sengaja cuba mencetuskan provokasi terhadap masyarakat Islam tempatan serta boleh timbulkan ketegangan kaum dan agama di negara ini.
“PAS desak menteri agama (Mujahid) tegas bendung perkara ini. Jangan terlalu bertahan sehingga dilihat lemah pertahan Islam. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu hormati sensitiviti umat Islam.
“Tambahan pula, pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terbabit dengan Nehemiah Project (Biblical Entrepreneurship) dan giat mempromosikan agenda Kristianisasi,” kata Nasrudin.
Semalam, Mujahid dilaporkan berkata beliau masih belum terima sebarang laporan rasmi berhubung isu paparan lambang salib di bangunan itu, walaupun sudah berhubung dengan pihak Mufti Pulau Pinang dan kerajaan negeri.
Sebaliknya Mujahid berdalih dengan mendakwa konon isu berkenaan perlu diteliti sama ada ia dilakukan dengan niat untuk menimbulkan keresahan dan sensitiviti agama atau hanya sekadar struktur cahaya sahaja.
Sebelum ini, heboh pengguna media sosial tempatan mengenai gambar pancaran lampu yang kelihatan seperti lambang salib di bangunan tersebut sehingga mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam.
Lambang salib berkenaan bukan berbentuk fizikal, namun dalam pancaran cahaya, dan lebih jelas kelihatan dari jauh pada waktu malam, kerana dipasang di bangunan tinggi. – Agensi/Mynewshub.TV