JANGKAAN… Boon Siew Honda Sdn. Bhd. tidak menolak kemungkinan jualan motosikal murah atau kapcai meningkat berikutan kenaikan kos sara hidup dalam kalangan rakyat di negara ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, situasi semasa sedemikian menjadi faktor pengguna akan memilih motosikal mampu milik sebagai pengangkutan harian.
Bagaimanapun jelas beliau, trend tersebut tidak bermakna segmen motosikal berkuasa lebih tinggi pula tidak menunjukkan petanda positif.
“Pemantauan kami mendapati wujud trend pengguna di negara ini beralih daripada motosikal berkuasa rendah kepada yang lebih tinggi.
“Justeru, kami kini beri fokus kepada motosikal berkuasa 150 cc dan ke atas pada tahun ini. Pada masa sama kami terus mahu mengekalkan prestasi baik jualan segmen motosikal mampu milik,” katanya.
Yasuda ditemui media dalam majlis pengumuman lima strategi utama Boon Siew Honda bagi tahun ini di Shah Alam, Selangor, semalam. Turut hadir ialah pengurusan tertinggi Boon Siew Honda.
Mereka termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Tan Hui Jing; Ketua Pegawai Jualan, Voon Yin Kong; Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan, Yoshitaka Nakamura serta Ketua Pegawai Pentadbiran, Jeremy Loo.
Terdahulu dalam ucapannya, Keiichi menjelaskan, tahun lalu, jualan Boon Siew Honda meningkat sebanyak 28.7 peratus berbanding 121,000 unit berjaya dijual pada 2017.
“Boon Siew Honda merekodkan prestasi jualan cemerlang di mana kira-kira 156,000 unit dijual pada 2018,” ujar Yasuda. Dalam majlis itu juga, beliau memperkenalkan tiga model baharu.
Ia dikenali sebagai Super Cub C125, CB1100 RS dan CBR1000RR Fireblade SP masing-masing dijual pada harga RM13,999, RM75,999 dan RM114,999.
Ketiga-tiga model berkenaan bakal berada dalam pasaran tempatan pada minggu depan. – Agensi/Mynewshub.TV