KASIHAN… Bekas kekasih kepada Emma Maembong, pelakon Kamal Adli bersimpati dengan ujian berat yang sedang timpa aktres comel itu.
Ibarat tidak mahu tabur garam ke atas luka, Kamal, 33, enggan mengulas lanjut mengenai penyebaran gambar Emma yang tidak bertudung, namun mendoakan Emma untuk sentiasa kuat.
“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu komen apa-apa. Cukup-cukuplah memberi tekanan kepada Emma. Kasihan kepada dia,” katanya melalui pesanan ringkas aplikasi WhatsApp kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu, pelakon drama bersiri popular tempatan Jika Masih Ada Rindu itu telah meninggalkan komen pada entri permohonan maaf terbuka Emma menerusi laman sosial Instagram peribadinya.
Dalam komen berkenaan, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, berpesan kepada Emma, 27, untuk bertabah dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Stay strong (Terus bertabah) ya. Allah kan ada,” kata Kamal memetik komen yang ditinggalkan pada Instagram @emma_maembongofficial.
Kelmarin, merupakan hari malang dalam sejarah kerjaya Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail apabila deretan gambar panas dirinya yang tidak bertudung bertebaran dalam laman sosial.
Bukan sahaja tidak berhijab, Emma, dikecam gara-gara rakamkan gambar berpelukan dengan Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, 30, yang merupakan abang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq.
Pasangan yang belum membuat sebarang pengesahan tentang status hubungan mereka telah memuat naik permohonan maaf secara terbuka menerusi laman Instagram masing-masing kelmarin. – K! ONLINE