KRITIK… Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih berdegil kenakan harga petrol RON 95 pada RM2.20 sedangkan harga minyak mentah dunia tunjuk trend penurunan terus lagi dibidas.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) malah persoalkan sikap tidak malu rejim PH yang dianggap senyap-senyap kutip ‘subsidi’ dari rakyat.
Lebih lucu menurut laporan media, Kabinet PH belum lagi dapat kata putus muktamad mengenai penetapan harga petrol dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.
“Masih belum boleh buat keputusan. Hari itu buat pengumuman harga minyak akan turun pada 1 Januari. Sekarang tangguh pula sebab kononnya hendak berunding terlebih dahulu dengan persatuan pemilik stesen minyak.
“Inilah masalah apabila kerajaan PH hanya buat pengumuman sebelum teliti semua aspek. Ibarat rumah sudah siap tetapi pahat masih berbunyi.,” kata Khairy dalam nada sinis melalui kenyataan melalui laman Facebooknya hari ini.
Untuk rekod, pada 23 Disember lepas, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2019, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan melalui penetapan mekanisme secara mingguan.
“Sepatutnya rakyat cuma bayar RM1.90 untuk seliter RON 95, tapi mereka kena juga masih bayar pada harga tetap sebanyak RM2.20. Bermakna setiap liter petrol itu, rakyat perlu pula beri ‘subsidi’ 30 sen kepada kerajaan.
“Dulu kerajaan PH buat simpati minta rakyat marhaen derma kepada Tabung Harapan Malaysia. Sekarang senyap-senyap mereka pula kutip ‘subsidi’ dari rakyat. Kerajaan jenis apa ini?” soal Khairy lagi dalam nada kesal.
Sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, Mahathir bertemu wakil dan pimpinan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) namun sehingga kini tidak ada apa-apa kata muktamad mengenainya.
Pada masa ini, RON 95 dijual pada harga RM2.20 seliter, manakala RON 97 pula pada RM2.50 seliter dan RM2.19 seliter bagi diesel. – Agensi/Mynewshub.TV