CHASSIEU – Malaysia berjaya meraih trofi Piala Dunia Pastri 2019, berikutan kejayaan tiga chef pastrinya menewaskan wakil dari Jepun dan Itali dalam pusingan akhir yang berlangsung semalam.
Ia berlangsung selama dua hari mulai 27 hingga 28 Januari lalu di Lyon, Perancis dan tahun ini adalah kali ke-30 penganjuran berprestij yang diasaskan oleh Gabriel Paillasson.
Pasukan Malaysia diwakili Ketua Chef, Sekolah Hospitaliti, Universiti Sunway, Patrick Siau, selain Tan Wei Loon, Otto Tay dan Ming Ai Loi.
Pasukan tuan rumah, Perancis, pernah bergelar juara bagi edisi 2017.
Tempat kedua dimenangi oleh Jepun yang diwakili oleh Fumiaki Ito, Mirai Nishiyama dan Ryohei Oguma, manakala pingat gangsa dibawa pulang oleh Lorenzo Puca, Maria Cortinovis dan Andrea Restuccia selaku wakil Itali.
Bagi edisi kali ini, pasukan Malaysia terpaksa bersaing dengan 21 wakil dari pelbagai negara untuk merebut trofi paling berprestij dalam dunia pembuatan pastri.
Setiap negara yang diwakili tiga peserta mempunyai masa selama 10 jam untuk menyediakan beberapa hidangan, antaranya tiga pencuci mulut coklat cara Valrhona, 19 jenis pencuci mulut dan tiga pencuci mulut jenis buah beku daripada variasi capfruit.
Buat kali pertama di sepanjang penganjuran kejohanan tersebut, penganjur menampilkan kelainan apabila setiap hidangan perlu mencerminkan gaya hidup vegetarian. – Agensi