DEDAH… Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa tindakan beberapa pihak mahu mansuh hukuman mati seolah-olah memperlihatkan bahawa mereka adalah pembela kepada penjenayah.
Presidennya, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan di ibu negara hari ini berkata, kalangan menteri serta peguam daripada parti DAP didakwa kelihatan bersungguh-sungguh ingin hapuskan hukuman gantung tersebut.
Mereka ujar beliau, kononnya sering laungkan perjuangan atas dasar hak asasi manusia bagi rasional pemansuhan hukuman mati itu namun tidak memikirkan perasaan keluarga mangsa dibunuh yang trauma seumur hidup.
“Kita ingat mereka ini benar-benar ikhlas berjuang untuk selamatkan manusia, tetapi rupa-rupanya mereka adalah peguam yang bela penjenayah itu. Adakah mereka ada kepentingan hanya untuk selamatkan klien mereka?” soalnya.
Aminuddin berkata jika dimansuh, ini bermakna pembunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dan lebih 1,000 penjenayah yang tunggu hukuman itu hanya dipenjara.
“Bagaimana dengan hak asasi mangsa dan keluarga mereka? Bagaimana dengan hak asasi majoriti manusia yang mahukan keamanan. Orang tidak akan takut lagi buat jenayah dan kes bunuh akan semakin berleluasa,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar terlebih dahulu buat referendum di seluruh negara sebelum ambil keputusan untuk hapuskan hukuman mati.
Beliau berkata, keputusan pemansuhan hukuman itu adalah satu keputusan yang amat besar dan tidak wajar ketepi pendapat umum sebelum perkara itu diputuskan sepenuhnya pada sidang di Dewan Negara kelak.
Difahamkan, sehingga kini terdapat sejumlah 1,280 banduan masih lagi menunggu pelaksanaan hukuman mati dan mereka menghuni beberapa buah penjara di seluruh negara termasuk pesalah warganegara asing.
Pada November lalu, jemaah menteri PH memutuskan hukuman mati bagi 33 jenis kesalahan di bawah lapan akta berbeza dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan bunuh.
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada 13 November tahun lalu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Lawyers for Liberty, Majlis Peguam Malaysia pula adalah antara yang lantang mahu hukuman mati dihapuskan dengan alasan konon hak asasi manusia ke atas pesalah. – Agensi/Mynewshub.TV