MEGHAN Markle telah diberi amaran oleh para petugas perlindungan diraja untuk menghentikan amalan menutup sendiri pintu kereta atas alasan ancaman serangan, lapor The Sun pada Ahad.
Walaupun Duchess of Sussex dalam beberapa acara telah dilihat menutup sendiri pintu kereta yang dinaikinya, pegawai istana kini telah menyatakan kebimbangan terhadap keselamatannya.
Menurut akhbar itu, para petugas perlindungan bimbang Meghan, 37, mungkin tidak dapat masuk semula ke dalam keretanya dengan segera sekiranya berlaku kecemasan kerana kereta itu mempunyai sistem kunci automatik.
Sebelum ini, semasa penampilan awamnya yang pertama sejak menjadi kerabat diraja di Akademi Seni Diraja London pada September lalu, Meghan Markle dilihat menutup pintu keretanya sendiri.
Ketika Duchess of Sussex melangkah keluar dari kereta dan menutup pintu di belakangnya, ramai yang memberi komen di media sosial, memuji sikapnya yang rendah diri.
Bagaimanapun, sebulan kemudian, semasa lawatan ke Auckland, New Zealand, Duchess of Sussex dilihat meninggalkan kereta dengan pintu terbuka.
Sumber memberitahu The Sun pada Ahad: “Walaupun menutup pintu kereta mungkin kelihatan seperti perkara yang remeh, ia mungkin menjadi perbezaan.
“Jika ditakdirkan berlaku sesuatu yang tak diingini ketika ketibaan seorang kerabat diraja, petugas keselamatan perlu memastikannya masuk ke dalam kereta dalam masa beberapa saat jika perlu.
“Jika ia sudah ditutup dan dikunci, mustahil.”
Langkah-langkah keselamatan baharu ini muncul selepas kemalangan kereta Duke of Edinburgh baru-baru ini.
Kemalangan tersebut menyaksikan Land Rover Putera Phillip berusia 97 tahun terbalik dalam kemalangan berhampiran Sandringham.
Istana Kensington enggan mengulas. – Mail Online