KUALA LUMPUR – Selepas 22 hari bersalin, barulah pelakon Nadiya Nisaa berkongsi berita dirinya selamat melahirkan cahaya mata kedua yang diberi nama Aminah Rose.
Mengumumkan berita gembira itu di Instagram, Nadiya memberitahu, dia melahirkan Aminah seberat tiga kilogram, di sebuah pusat perubatan di ibu negara pada 1 Januari lalu.
Menghubungi Nadiya, pelakon yang melonjak namanya dalam drama Adam dan Hawa bersama Aaron Aziz, mengaku tidak bermaksud membuat kejutan.
“Sebenarnya, saya jenis pengguna yang memuat naik gambar atau video mengikut mood, bukan serta-merta.
“Tidak dinafikan, saya mendapat banyak mesej di Instagram terutama yang bertanya bila saya hendak bersalin. Iyalah, sebelum ini, saya ada memuat naik foto berbadan dua, pasti ramai yang hendak tahu kesudahannya.
“Saya harap perkongsian ini dapat menggembirakan pengikut yang menunggu. Terima kasih mendoakan kesejahteraan saya, anak dan keluarga,” katanya kepada BH Online.
Mengenai pemilihan nama Aminah Rose, Nadiya memberitahu, nama itu diberi anak sulungnya, Omar yang berusia lapan tahun.
“Omar beritahu namanya ada huruf ‘A’. Jadi, kenapa tidak dimulakan nama adiknya dengan pangkal huruf berkenaan.
“Daripada situ tercetuslah nama Aminah. Omar ini sesekali cara pemikirannya macam orang matang.
“Saya pula jenis tak kisah nak letak nama apa. Sebelum ini, suami yang menentukan nama anak,” katanya.
Tambah Aminah, suami, Saiful Razman Mohd Kassim menggemari nama berbau kemelayuan dan klasik.
“Dalam hati, rasa tak puas jika hanya nama Aminah diberi. Dipendekkan cerita, ditambah nama kedua iaitu Rose.
“Itupun secara kebetulan saya menonton filem Pendekar Bujang Lapok dan melihat watak Ros yang dilakonkan seniwati Allahyarham Roseyatimah. Saya rasa lagi comel kalau tambah Rose di belakang nama Aminah,” katanya.
Nadiya berkata, dia dan suami turut berbincang mengenai ejaan Rose.
“Isu itu diperdebatkan sama ada mahu dieja dengan ‘E’ atau sekadar Ros. Akhirnya, dalam diam-diam, suami mendaftarkan nama mengikut ejaan yang saya suka,” katanya.
Nadiya berkahwin dengan Saiful Razman pada 2010. – BH Online