SINIS… Datuk Seri Najib Razak persoal Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dengan tanya sejak bilakah proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi urusan rasmi kementerian itu.
Soalan cepu emas itu ditanyakan bekas perdana menteri tersebut selepas Presiden PAN berkenaan dilihat hadir berarak semasa proses penamaan calon untuk PRK Parlimen Cameron Highlands di Pahang pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, gambar-gambar Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu eksploitasi helikopter kerajaan di Cameron Highlands tular dalam kalangan netizen sehingga dapat kritikan daripada orang ramai.
Bagaimanapun Mat Sabu menafikannya dengan memberi alasan konon ia lawatan rasminya sebagai menteri yang telah dirancang lebih awal untuk beramah mesra bersama-sama anggota Batalion 165 Risik di tanah tinggi itu.
“Tetapi pada hari yang sama pula, Mat Sabu nampaknya ada hadir semasa proses penamaan calon PH (Pakatan Harapan) untuk PRK Cameron Highlands dan beri sokongan kepada calon PH itu dari parti DAP.
“Sejak bilakah proses penamaan calon parti DAP sudah menjadi urusan rasmi pihak Kementerian Pertahanan?” soal Najib dalam nada sindiran merujuk dalih Mohamad yang guna helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Mengulas dengan lebih lanjut Najib berkata, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, DAP dan Bersih sering tuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan pilihan raya.
“DAP dan BERSIH tidak nampak? Masih bisu? Atau Mat Sabu akan claim (buat tuntutan) duit minyak untuk helikopter ATM dari pihak DAP nanti?” sindir Najib merujuk isu duit minyak PH kepada Orang Asli yang tular.
Beliau dalam nada sinis menitip pesanan kepada Mohamad supaya jangan malu buat tuntutan tersebut daripada ‘otai’ DAP, Lim Kit Siang yang dakwa kononnya duit minyak bukanlah rasuah politik. – Agensi/Mynewshub.TV