SYDNEY – Lebih 3,000 orang disengat obor-obor amat berbisa di pantai timur Australia dalam tempoh beberapa hari sahaja, kata pihak berkuasa semalam dalam insiden yang memaksa beberapa buah pantai popular ditutup.
Kebanjiran obor-obor topi Portugis itu di negeri Queensland, dianggap sebagai ‘serangan’ oleh media tempatan, apatah lagi, sengat haiwan itu sungguh menyakitkan.
Persatuan pengawal pantai, Surf Life Saving berkata, seramai 3,595 orang mengalami kesakitan seperti melecur selepas disengat spesies obor-obor tersebut yang juga dikenali sebagai ‘botol biru’ kerana warna kebiruannya.
Sekurang-kurangnya empat pantai utama masih ditutup, manakala organisasi tersebut memberi amaran bahawa lebih banyak obor-obor dijangka membanjiri lokasi tersebut.
“Tembok botol biru menghampiri Pantai Rainbow. Anggota-anggota penyelamat menutup pantai tersebut. Orang ramai diminta tidak bermain air laut,” demikian menurut amaran yang dikeluarkan oleh Surf Life Saving
Obor-obor topi Portugis kerap menyengat mangsanya, manakala jeritan akibat kesakitan biasa didengar di pantai timur Australia ketika musim panas.
Bagaimanapun, bilangan mangsa yang begitu ramai sejak beberapa hari lalu mengejutkan pihak berkuasa.
“Kesakitan pada kulit boleh berlarutan selama beberapa minit hingga beberapa jam. Sengatan juga boleh mengakibatkan mangsa mual dan mengalami muntah-muntah,” kata persatuan doktor tempatan, Royal Australian College of General Practitioners.
Kaedah merawat sengatan obor-obor topi Portugis termasuk membasuh luka dengan air suam atau menggunakan pek ais. – Agensi