BERANG… Tular aksi Timbalan Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kelantan semalam bertindak biadab tendang motosikal pelajar dan penjaga.
Beliau dikatakan ‘amuk’ kerana berang lihat banyak kenderaan tersebut yang diletakkan di depan surau institut berkenaan sehingga tindakannya itu menjadi tular dalam kalangan pengguna laman sosial Facebook.
Perbuatan tersebut terdedah selepas seorang individu memuat naik sebuah video berdurasi seminit 28 saat yang menunjukkan pegawai tersebut tendang tiga buah motosikal yang diletakkan di perkarangan surau ILP itu.
Rakaman secara amatur tersebut mendapat reaksi negatif daripada ramai ibu bapa dan penjaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan biadab individu berkenaan kerana sepatutnya beliau boleh sahaja tegur lebih berhemah.
Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad ketika dihubungi media berkata, pihaknya telah ambil tindakan segera dengan memaklumkan isu itu kepada pengetahuan ibu pejabat Jabatan Tenaga Manusia (JTM) di ibu negara.
“Saya serta pihak pengurusan ILP Kota Bharu ingin memohon maaf atas tindakan tidak wajar oleh pegawai tersebut sehingga menimbulkan keadaan tidak selesa kepada ibu bapa pelajar yang berurusan di sini.
“Saya akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku pada masa akan datang demi imej dan intergriti ILP Kota Bharu serta JTM sebagai institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara terunggul,” katanya.
Zainudin menambah bahawa semalam kebetulan agak sibuk dengan urusan pendaftaran pelajar lama dan ILP tetapkan peraturan sebarang kenderaan dilarang dibawa masuk ke dalam dan perlu diletak di luar. – Agensi